Pulaie, Selasa, 20 Safar 1448 bersamaan 04 Ogos 2026–Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada para Da'ie Pusat Da'wah Islamiah dan Jabatan Hal Ehwal Masjid; para pensyarah dan penolong pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama; para pensyarah dan penolong pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali di bawah Kementerian Pendidikan; para pegawai Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan; serta para da'ie daripada jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta dan Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei telah menyertai Halaqah Bimbingan Da'ie Kali Ke-73 Tahun 1448H/2026M yang diadakan pagi tadi di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Objektif utama penganjuran Halaqah Bimbingan Da'ie Kali Ke-73 adalah untuk menyelaras isi kandungan ceramah agar penyampaian para penceramah sentiasa konsisten, mantap dan relevan dengan isu-isu semasa serta perkembangan zaman.
Halaqah ini dianjurkan oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Penyebaran Da'wah (Ceramah).
Penganjuran halaqah ini diharapkan dapat mencapai objektif dan matlamat yang dihasratkan, khususnya dalam memperkaya ilmu pengetahuan, membincangkan isu-isu berkaitan serta menggalakkan pertukaran pandangan secara berkesan mengenai tajuk-tajuk ceramah yang dibentangkan.
Majlis halaqah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Majlis kemudian diteruskan dengan pembentangan tema oleh fasilitator jemputan, Yang Mulia Profesor Madya Dr Anis Malik Thoha, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Seterusnya, penyampaian cenderahati kepada fasilitator jemputan telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah selaku Tetamu Khas majlis. Majlis diteruskan dengan sesi bengkel, diikuti pembentangan hasil perbincangan oleh para peserta dan seterusnya sesi soal jawab yang dibuka kepada semua peserta yang hadir.
Foto: PDI