Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM ILAL MAJDI WAL ‘ULA SEKOLAH ARAB RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMIT BAGI TAHUN 1448H / 2026M

03 August 2026

PROGRAM ILAL MAJDI WAL ‘ULA SEKOLAH ARAB RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMIT BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Bandar Seri Begawan, Isnin, 19 Safar 1448 bersamaan 03 Ogos 2026–Dalam usaha mendukung Wawasan Brunei 2035 ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama terus memperkukuh pelbagai inisiatif berstrategik bagi membudayakan kecemerlangan akademik serta melahirkan pelajar yang berilmu, cemerlang dan berdaya saing.

Sejajar dengan hasrat tersebut, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit telah mengungkayahkan Program Ilal Majdi Wal 'Ula (Ke Arah Ketinggian dan Kemuliaan) bertemakan Muraja'ah Digital: Mengukuhkan Ilmu Menuju Kejayaan bertempat di dewan utama sekolah berkenaan sebagai inisiatif mempertingkatkan persediaan pelajar menghadapi peperiksaan awam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) serta peperiksaan dalaman.

Hadir selaku Tetamu Khas majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Rusidah binti Haji Talip, Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa, diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut, Guru Besar Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit. Majlis kemudian diteruskan dengan Pertandingan Kuiz 'Muraja'ah Quest: Digital Quiz Challenge' sebelum diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Tetamu Khas majlis.

Program Ilal Majdi Wal 'Ula merupakan antara inisiatif Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam yang dilaksanakan secara bergilir di sekolah-sekolah Arab sebagai platform memperkukuh persediaan akademik pelajar melalui pendekatan pembelajaran yang kolaboratif, interaktif dan inovatif, di samping meningkatkan motivasi dan keyakinan diri dalam kalangan pelajar.​