Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-240

01 August 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-240

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 18 Safar 1448 Bersamaan 01 Ogos 2026Belia merupakan satu kumpulan atau golongan yang amat penting dalam sesebuah negara kerana mereka adalah tenaga penggerak pembangunan, pelapis kepimpinan dan harapan bangsa di masa hadapan. Apa yang berlaku kepada generasi belia pada hari ini akan menentukan keadaan negara di masa akan datang. Belia hendaklah mempunyai akhlak yang baik, berilmu, beriman dan berintegriti. Para belia juga perlulah menggunakan masa muda mereka dengan perkara yang bermanfaat dan memperkukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Solat lima waktu hendaklah dijaga dengan sempurna, Al-Quran hendaklah dijadikan teman harian, doa dan zikir hendaklah menjadi amalan yang berterusan. Selain itu, menjaga akhlak dan sahsiah diri juga merupakan asas pembentukan masyarakat yang harmoni. Sikap jujur, amanah, bertanggunggjawab, menghormati ibu bapa dan orang yang lebih tua juga perlu sentiasa diamalkan. Negara yang maju bukan hanya dibina oleh bangunan yang tinggi dan teknologi yang canggih, tetapi turut dibina oleh rakyat terutamanya belia yang mempunyai nilai moral yang tinggi, semangat patriotisme dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Belia Masa Depan Negara yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Norafendi bin Norsabah, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Zon 2, Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama kali ke-240 pada malam tadi yang bersiaran dari Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong.

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Aidil Sofian bin Haji Mohd Yassin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Kahfi Ayat 1 hingga 10 beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Azfar Syukri bin Azamri, Belia Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang bersama Belia-Belia Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Raqib bin Haji Awang, Imam Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad 'Ammar Zulqarnain bin Mohammad Azril, Belia Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Ahwazul Aqil bin Haji Abd Rahman, Pelapis Bilal Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.​