Berakas, Sabtu, 17 Safar 1448 bersamaan 01 Ogos 2026-Program Persediaan Pekerjaan (Career Readiness Bootcamp) melabuhkan tirainya hari ini dengan Majlis Penutup yang diadakan di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Career Readiness Bootcamp yang dilaksanakan secara rintis merupakan hasil kerjasama strategik antara Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), melibatkan penyertaan seramai 50 orang graduan daripada bidang Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Pengajian Islam, Syariah, Undang-Undang Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab serta Al-Quran dan Qiraat.
Program yang berlangsung selama lima hari ini bertujuan memperkukuhkan kebolehpasaran graduan bidang ugama melalui pendekatan yang menyeluruh dengan memberi penekanan kepada pembangunan diri, persediaan kerjaya, kemahiran insaniah, literasi digital, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), keusahawanan serta pendedahan kepada pelbagai laluan kerjaya dan dunia pekerjaan.
Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pelbagai sesi pembangunan diri, perkongsian bersama rakan-rakan program Pusat Pekerjaan Brunei daripada pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta, sesi dialog bersama pihak industri, jaringan profesional (networking session) serta lawatan industri yang memberi pendedahan secara langsung kepada persekitaran kerja profesional, budaya organisasi dan jangkaan majikan terhadap kompetensi serta kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa kini.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, Kementerian Hal Ehwal Ugama turut mengendalikan beberapa sesi perkongsian yang memberi fokus kepada pembangunan profesional graduan bidang ugama, termasuk laluan pembangunan kompetensi, kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan kerjaya serta penerokaan pelbagai ruang sumbangan kepada masyarakat berlandaskan ilmu dan kepakaran yang dimiliki.
Majlis Penutup turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada 50 orang peserta yang telah berjaya menamatkan program tersebut. Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dr. Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd. Salleh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis turut diserikan dengan Ucapan Penutup yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali, Pengarah Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa ilmu yang dimiliki oleh graduan bidang ugama merupakan satu amanah yang perlu diterjemahkan melalui khidmat, integriti dan profesionalisme dalam apa jua bidang yang diceburi dengan menerapkan nilai-nilai mulia dalam Islam. Beliau turut menyeru para peserta agar terus memperkukuhkan kompetensi, meningkatkan kemahiran serta membina keyakinan diri agar sentiasa bersedia menghadapi perubahan dan cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik.
Program ini mencerminkan komitmen bersama Pusat Pekerjaan Brunei dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation, dengan memanfaatkan kepakaran serta jaringan kerjasama pelbagai pihak bagi melahirkan graduan yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara.
Usaha ini juga selaras dengan Matlamat Pertama Wawasan Brunei 2035, iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Di samping itu, program ini turut mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sebagaimana yang dizahirkan dalam Titah Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-80 Tahun 1448H/2026M, agar generasi muda bukan sekadar menjadi penonton kepada perubahan dan penggunaan teknologi ciptaan pihak lain, malah bangkit sebagai pencipta, pemikir dan pemimpin yang berwawasan.
Sehubungan itu, Career Readiness Bootcamp diharapkan menjadi pemangkin kepada para graduan untuk terus memperkukuhkan ilmu, meningkatkan kompetensi, menguasai teknologi dan kemahiran baharu serta berani meneroka pelbagai peluang bagi membina kerjaya yang mampan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara.
Foto: BPAAM