Pulaie, Sabtu, 17 Safar 1448 bersamaan 01 Ogos 2026–Ibadah sembahyang fardhu lima waktu merupakan kewajipan setiap orang Islam dalam apa jua keadaan. Sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat Islam yang bermusafir, Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengurniakan rukhsah, antaranya melalui pelaksanaan Sembahyang Jamak dan Qasar, agar ibadah ini tetap dapat ditunaikan dengan sempurna.
Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) telah menganjurkan Program Tarbiyah Bersama Muallaf: Panduan Musafir yang diadakan di Dewan Mau'izhah, Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie pada pagi tadi.
Program ini telah disertai oleh seramai 30 orang peserta dalam kalangan para muallaf. Antara pengisian program ialah penerangan mengenai panduan musafir, pelaksanaan Sembahyang Jamak dan Qasar, serta tatacara menunaikan sembahyang di dalam kapal terbang. Taklimat disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman yang lebih jelas kepada para muallaf mengenai kaedah pelaksanaan sembahyang ketika bermusafir agar mereka dapat menunaikan ibadah tersebut dengan yakin dan sempurna.
Adalah diharapkan program ini akan dapat meningkatkan kefahaman dan memantapkan keyakinan para muallaf dalam melaksanakan sembahyang ketika bermusafir, di samping menyemai kesedaran bahawa tanggungjawab menunaikan sembahyang fardhu lima waktu hendaklah sentiasa dipelihara walau di mana jua mereka berada.
Foto: PDI