Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH BAGI TAHUN 1448H / 2026M

01 August 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Berakas, Sabtu, 17 Safar 1448 bersamaan 01 Ogos 2026–Majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah Ugama merupakan satu amalan yang signifikan dalam sistem pendidikan Ugama di negara ini. Ia bukan sahaja melambangkan pencapaian murid-murid Darjah VI dalam menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, malah turut menjadi satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha gigih mereka dalam mendalami dan menghayati ajaran Islam. Majlis ini juga sebagai wadah untuk mendekatkan diri kepada Al-Quran, di mana para pembacanya diberikan ganjaran pahala, dilimpahi rahmat serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Sehubungan itu, Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada petang tadi meraikan seramai 104 orang murid Darjah VI terdiri daripada 59 orang murid lelaki dan 45 orang murid perempuan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Dewan Munawwarah, Setia Point, Berakas. 

Antara peserta khatam yang diraikan ialah Yang Mulia Pengiran Muhammad Syafiq Mubarak bin Pengiran Haji Mohamad Ezul, Cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor'ain binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Yang Mulia Pengiran Muhammad Abdul Haadee Mubasheer bin Pengiran Anak Abdul Badee', Cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis, Yang Arif Awang Haji Hassan bin Haji Metali, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri berserta isteri, Yang Mulia Dayang Hajah Harinawati binti Awang Haji Tumar.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis, diikuti bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam; bacaan Takhtim dan Doa Khatam.

Majlis kemudian diteruskan dengan persembahan dikir, disusuli penyampaian sijil kepada peserta khatam yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.​