Bandar Seri Begawan, Isnin, 12 Safar 1448 bersamaan 27 Julai 2026–Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar 'Ali Saifuddien telah mengadakan Majlis Perasmian Logo Rasmi Masjid Omar 'Ali Saifuddien dan Mahrajan sempena memperingati ulang tahun ke-68 Masjid Omar 'Ali Saifuddien. Majlis tersebut diadakan di Masjid berkenaan pada pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan perasmian Logo Rasmi Masjid Omar 'Ali Saifuddien dan Mahrajan ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut Hadir, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dr. Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh serta Pengarah-Pengarah, Pegawai dan Kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Penganjuran majlis ini bertujuan memperkenalkan Logo Rasmi Masjid Omar 'Ali Saifuddien sebagai identiti rasmi yang melambangkan sejarah, aspirasi serta peranan masjid sebagai pusat ibadah, dakwah dan warisan Islam. Di samping itu, program ini bertujuan mengimarahkan masjid, mengukuhkan penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), serta mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan masjid, jemaah dan masyarakat.
Sepanjang Mahrajan berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat diadakan, antaranya lawatan berpandu sekitar masjid, galeri sejarah, demonstrasi tulisan Jawi dan seni khat, sudut kanak-kanak, aktiviti memanah, pameran permainan tradisional, kuiz Melayu Islam Beraja dan sejarah masjid, jualan buku serta bahan ilmiah Islam, pameran kesihatan, kempen derma darah dan reruai jualan.
Program ini terbuka kepada pegawai dan kakitangan kerajaan, pelajar institusi pengajian, jemaah masjid, belia dan beliawanis, kumpulan Muslimah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelancong dari dalam dan luar negara serta orang ramai.
Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan ini sebagai tanda penghargaan terhadap warisan Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang menjadi mercu tanda kegemilangan Islam di Negara Brunei Darussalam. Melalui penganjuran ini juga diharapkan dapat memperkukuhkan lagi peranan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu, perpaduan dan pembangunan ummah.





Foto: BPAAM