Kiarong, Ahad, 11 Safar 1448 bersamaan 26 Julai 2026–Bagi menyokong aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dengan menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan pengimarahan, di samping meningkatkan penghayatan terhadap hari-hari kebesaran Islam serta menyampaikan ilmu secara ringkas dan bermanfaat kepada para jemaah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong telah mengadakan Program Subuh Berkat Sempena Hari-Hari Kebesaran Islam dan Hari-Hari Bersempena di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Program ini juga dihasratkan dapat memupuk budaya menghadirkan diri ke masjid, memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan penghayatan terhadap nilai-nilai Islam melalui pengisian keagamaan yang ringkas, padat dan bermanfaat.
Sehubungan dengan itu, buat julung kalinya Program Subuh Berkat telah diadakan pada pagi tadi bersempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun, bagi Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Awang Zainol bin Mohamed, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Subuh berjemaah, diikuti dengan penyampaian tazkirah oleh Yang Mulia Awang Muhd. Safwan bin Mohd. Sufian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Diharapkan penganjuran program seumpama ini akan terus menyemarakkan budaya ilmu, meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam, menggalakkan kehadiran jemaah ke masjid serta memperkukuhkan pengamalan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.