Serusop, Sabtu, 10 Safar 1448 bersamaan 25 Julai 2026–Majlis Khatam Al-Quran terus menjadi antara pengisian tahunan yang diadakan oleh sekolah-sekolah ugama di negara ini sebagai pengiktirafan kepada murid-murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Penganjurannya mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan pendidikan Al-Quran serta menyemai kecintaan terhadap kitab suci itu dalam kalangan murid.
Sehubungan itu, Sekolah Ugama Salambigar telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Murid-Murid Darjah VI yang diadakan di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Pegiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop pada petang tadi bagi meraikan seramai 49 orang murid yang terdiri daripada 24 murid lelaki dan 25 murid perempuan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohamed Asran bin Pengiran Haji Mahmud, Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim, Doa Khatam, persembahan dikir serta penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Sementara itu, Majlis Khatam Al-Quran turut diadakan oleh Sekolah Ugama Junjongan yang diadakan di Dewan Ar-Rahman, Sekolah Rendah Junjongan bagi meraikan seramai 25 orang murid Darjah VI yang terdiri daripada 14 murid lelaki dan 11 murid perempuan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Suherdey bin Serbini, Pemangku Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah serta menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta.