Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

BENGKEL TAJWID BERSAMA AL-QURAN BAGI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID TAHUN 1447H/2026M

25 July 2026

BENGKEL TAJWID BERSAMA AL-QURAN BAGI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID TAHUN 1447H/2026M

Temburong, Sabtu, 10 Safar 1448 bersamaan 25 Julai 2026-Bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran masyarakat dalam membaca Al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul, di samping memupuk minat untuk sentiasa memperbaiki bacaan serta menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong serta Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong, telah menganjurkan Bengkel Tajwid Bersama Al-Quran bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah dan jemaah masjid. Bengkel tersebut diadakan di Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong pada pagi tadi.

Penganjuran bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memperkukuh kefahaman dan meningkatkan kemahiran masyarakat dalam membaca Al-Quran mengikut hukum tajwid yang sahih dan tepat.

Antara objektif utama bengkel ini ialah mendokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir serta melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran. Selain itu, bengkel ini turut memberi pendedahan mengenai asas-asas ilmu tajwid, meningkatkan keyakinan peserta membaca Al-Quran secara bertalaqqi, memupuk budaya mencintai dan mendalami ilmu Al-Quran, serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.

Bengkel yang bertemakan Bacaan Betul, Hati Tenang ini telah disertai oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah masjid dan orang ramai. Program diisi dengan sesi pengenalan ilmu tajwid, latihan praktikal tajwid, bacaan Al-Quran secara bertajwid serta sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Yang Mulia Awang Haji Md Daud bin Haji Abd Kadir.

Melalui penganjuran bengkel ini, diharapkan para peserta akan lebih mahir membaca Al-Quran dengan sebutan yang fasih serta mengaplikasikan hukum tajwid dengan betul. Di samping itu, bengkel ini diharap dapat membudayakan amalan membaca Al-Quran secara berterusan dalam kehidupan seharian, sekali gus mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu, pembinaan ummah dan penyebaran dakwah kepada masyarakat.​