Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PERSEMBAHAN PENTAS PERAYAAN BERCORAK KEAGAMAAN SEMPENA  ULANG TAHUN KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-80  TAHUN 1448H / 2026M

23 July 2026

PERSEMBAHAN PENTAS PERAYAAN BERCORAK KEAGAMAAN SEMPENA ULANG TAHUN KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-80 TAHUN 1448H / 2026M

Bandar Seri Begawan, Khamis, 08 Safar 1448 bersamaan 23 Julai 2026–Bagi menyemarakkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Persembahan Pentas Perayaan Bercorak Keagamaan pada malam tadi di Pentas Perayaan, Kawasan Letak Kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Isteri. Turut hadir ialah pengarah-pengarah jabatan dan para pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat. Pengisian atur cara Persembahan Pentas Perayaan Bercorak Keagamaan termasuk Haflah Al-Quran oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS; puisi bertajuk 'Khalifah Nusantara' oleh murid-murid Sekolah Ugama Pantai Berakas; nasyid 'Doa Buat Raja Tercinta' oleh murid-murid Sekolah Ugama Katok (Bangunan Sekolah Menengah); bicara berirama bertajuk 'Denyut Watan' oleh pelajar-pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan diakhiri dengan persembahan tausyeh oleh guru-guru Bahagian Pendidikan Khas Ugama.

Orang ramai yang hadir turut berpeluang menyertai kuiz Interaktif yang diselang-selikan sepanjang persembahan.

Persembahan Bercorak Keagamaan ini bertujuan memupuk kecintaan terhadap agama, raja dan negara, khususnya dalam kalangan generasi muda melalui penghayatan seni Islam. Di samping mengimarahkan seni persembahan Islam sebagai medium dakwah dan pendidikan rohani. Program ini turut menggalakkan penyertaan aktif guru dan pelajar dalam aktiviti bercorak keagamaan yang menyumbang kepada pembentukan sahsiah serta pembangunan modal insan berakhlak mulia.​