Berakas, Khamis, 08 Safar 1448 bersamaan 23 Julai 2026–Bagi memperkasa inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ugama, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei I, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi menganjurkan Program At-Tatweer: Pertandingan Mencipta Video Pengajaran Kreatif Mata Pelajaran Ugama bagi Guru-Guru Persekolahan Ugama Kawasan Brunei I bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan sebelum diteruskan dengan peringkat akhir Pertandingan Mencipta Video Pengajaran Kreatif Mata Pelajaran Ugama. Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti lawatan ke ruang pameran.
Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran guru dalam menghasilkan bahan pengajaran berasaskan teknologi yang kreatif dan inovatif, di samping menggalakkan penggunaan pedagogi digital serta memperkukuh kualiti pengajaran mata pelajaran ugama selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
Selain itu, program seumpama ini turut menjadi platform kepada guru untuk berkongsi idea dan amalan terbaik dalam penghasilan bahan bantu mengajar digital, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam dalam memperkasa profesionalisme guru serta membudayakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah ugama.