Bandar Seri Begawan, Khamis, 08 Safar 1448 bersamaan 23 Julai 2026–Kursus Asas Da'wah telah melabuhkan tirainya petang tadi dalam satu Majlis Penutupan yang diadakan di Bilik Mau'izhah, Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop, Pemangku Pegawai Ugama Kanan merangkap Ketua Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta dan penyampaian cenderahati kepada dua (2) orang fasilitator undangan dari Malaysia sebagai tanda penghargaan atas sumbangan serta perkongsian ilmu sepanjang kursus berlangsung.
Kursus yang diadakan selama tiga (3) hari, bermula dari 05 hingga 08 Safar 1448 Hijrah bersamaan 21 hingga 23 Julai 2026, telah menghimpunkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah. Sepanjang kursus tersebut, para peserta didedahkan kepada asas-asas da'wah serta pendekatan yang berkesan dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat bukan Islam melalui bimbingan dua (2) orang fasilitator yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan.
Penganjuran Kursus Asas Da'wah ini bertujuan memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan teknik-teknik da'wah, khususnya dalam mendekati masyarakat bukan Islam secara berhikmah dan berkesan, di samping meningkatkan keupayaan para da'ie dalam mendepani cabaran dakwah semasa.
Sepanjang kursus, para peserta mengikuti sesi pembentangan, perbincangan dan perkongsian pengalaman yang memberikan pendedahan kepada pendekatan dakwah yang praktikal serta memperkukuh keyakinan dan kemahiran mereka dalam menyampaikan risalah Islam.
Kursus ini juga diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara Pusat Da'wah Islamiah dengan institusi-institusi da'wah di peringkat serantau ke arah memperkasa usaha penyebaran dakwah Islamiah.
Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama berharap agar ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti dakwah di Negara Brunei Darussalam, sekali gus memperkukuh penyampaian mesej Islam dengan penuh hikmah selaras dengan aspirasi Negara Zikir.