Pulaie, Ahad, 04 Safar 1448 bersamaan 19 Julai 2026–Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Program 'Ilm Series Siri Ke-25 yang diadakan di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Pulaie.
Program tersebut telah dibahagikan kepada dua (2) sesi utama, iaitu Forum Panel dan Bengkel Interaktif, yang dibukakan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Belia Da'ie serta orang awam.
Forum Panel telah menampilkan Yang Mulia Awang Muhd Yussof bin Haji Abd. Majid, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 2, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama Dr. Diana Tahir, Acting Associate Specialist, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Kementerian Kesihatan.
Antara intipati utama forum ialah penjelasan bahawa setiap manusia diuji dengan cabaran yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing. Justeru, ukuran sebenar bukanlah pada bentuk ujian yang dihadapi, tetapi pada cara seseorang menghadapinya dengan penuh keimanan, kesabaran dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Para peserta turut disarankan agar tidak berputus asa daripada rahmat Allah, sebaliknya sentiasa berusaha memperbaiki diri melalui taubat yang berterusan, memperbanyakkan doa, bermujahadah melawan hawa nafsu, mengenal pasti faktor yang mendorong kepada kemaksiatan, membina sistem sokongan yang positif serta mendapatkan bimbingan daripada individu dan saluran yang bersesuaian.
Program kemudiannya diteruskan dengan Bengkel Interaktif yang dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) bersama fasilitator Belia Da'ie melalui empat (4) booth bertemakan Refleksi Diri, Tadabbur Al-Qur'an, Pembinaan Pelan Perubahan dan Pengukuhan Istiqamah. Bengkel tersebut memberi ruang kepada para peserta untuk bermuhasabah, menghayati pengajaran yang diperoleh sepanjang forum serta merangka komitmen peribadi ke arah perubahan diri yang lebih positif dan berterusan.
Program berkenaan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada para asatizah, pegawai-pegawai kerajaan, golongan pesara, para belia, wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, alumni Akademi Da'wah serta orang awam.
Penganjuran Program 'Ilm Series Siri Ke-25 dihasratkan dapat memperkukuhkan kefahaman agama dalam kalangan peserta, membentuk jati diri yang lebih mantap serta mendorong mereka untuk terus istiqamah dalam menghayati dan mengamalkan ajaran Islam. Program ini juga diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.
Bagi memperluaskan penyampaian ilmu kepada masyarakat, sesi forum turut disiarkan secara langsung menerusi Instagram Live di akaun rasmi Belia Da'ie. Rakaman penuh Forum Panel juga boleh ditonton semula melalui akaun Instagram rasmi Belia Da'ie (@beliadaie).
Foto: PDI