Tanjong Bunut, Khamis, 01 Safar 1448 bersamaan 16 Julai 2026–Bagi mengimarahkan rumah Allah melalui aktiviti keilmuan yang bermanfaat, di samping menyemarakkan semangat berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik berlandaskan ajaran Islam, Muslimah Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut telah mengadakan Majlis Ilmu Muslimah Sempena Awal Tahun Hijrah 1448 dengan pengisian ceramah bertajuk "Mendekati Allah, Mencintai Rasulullah" yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Hajah Fadillah Ulfa, Penceramah dari Republik Indonesia. Majlis tersebut diadakan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut.
Penganjuran majlis ini bertujuan mengukuhkan ukhuwah serta mempereratkan lagi silaturahim dalam kalangan Muslimah. Selain itu, ia diharapkan dapat meningkatkan kefahaman mengenai dakwah Islamiah, di samping menyokong usaha merealisasikan aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu, isteri Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir dan Perkhidmatan Awam), [Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad]. Turut hadir ialah Muslimah dari beberapa buah masjid di kawasan berhampiran.
Melalui pengisian ilmu dan perkongsian yang disampaikan, majlis ini diharapkan dapat menjadi platform untuk memperkukuhkan kerjasama, memperluas jaringan ukhuwah serta mempereratkan hubungan dalam kalangan Muslimah masjid di seluruh negara.