Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS HAFL AL-TAKHARRUJ KE-32 SEKOLAH TINGGI ARAB HASSANAL BOLKIAH TAHUN 1447-1448H/ 2026M

14 July 2026

MAJLIS HAFL AL-TAKHARRUJ KE-32 SEKOLAH TINGGI ARAB HASSANAL BOLKIAH TAHUN 1447-1448H/ 2026M

Berakas, Selasa, 28 Muharram 1448 bersamaan 14 Julai 2026–Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah pada pagi tadi telah mengadakan Majlis Hafl Al-Takharruj di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas bagi meraikan seramai 296 orang pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) serta Brunei Cambridge GCE 'A' Level bagi tahun 2025.

Daripada jumlah tersebut, seramai 249 orang pelajar menerima Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan 42 orang pelajar menerima sijil Brunei Cambridge GCE 'A' Level. Manakala seramai 5 orang pelajar yang mengambil jurusan Arab dan Umum menerima kedua-dua sijil peperiksaan awam tersebut.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan yang turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran berserta terjemahan; Selawat Tafrijiyyah; Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Lagu Rasmi Sekolah. Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad, Pengetua Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Majlis.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video dan seterusnya penyampaian sijil serta hadiah kepada penerima-penerima Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan Brunei Cambridge GCE 'A' Level. Turut disampaikan Hadiah Anugerah Khas kepada 12 orang penerima dan seorang penerima Anugerah Pelajar Mithali sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Majlis Hafl Al-Takharruj tersebut diadakan bagi memartabatkan serta memperkasakan pendidikan Islam dan bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam. Majlis ini juga bertujuan menzahirkan kesyukuran, menghargai kecemerlangan para pelajar, serta menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi. Di samping itu, majlis ini turut mendukung Wawasan Brunei 2035 ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.​