Bandar Seri Begawan, Ahad, 26 Muharam 1448 bersamaan 12 Julai 2026–Belia Muallaf As-Syahadah dengan kerjasama Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima Sesi Ke-5 “All Aboard The Haji Express" yang diadakan pada pagi tadi di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.
Program ini merupakan sesi kelima dalam Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima yang memberi tumpuan kepada Rukun Islam yang kelima, iaitu Haji. Bengkel tersebut telah disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada peserta program dan ahli jawatankuasa pelaksana telah menyertai program berkenaan.
Melalui sesi ini, para peserta diberikan kefahaman asas mengenai ibadah haji dan seterusnya berpeluang melakukan aktiviti simulasi secara praktikal yang memberikan gambaran lebih jelas mengenai perjalanan dan tatacara pelaksanaan ibadah haji. Di samping itu, para peserta turut didedahkan kepada hikmah dan kepentingan ibadah haji dalam kehidupan seorang Muslim.
Program ini juga memberi pendedahan mengenai pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan kepada bakal jemaah haji dalam kalangan muallaf, sekali gus memberikan maklumat awal yang bermanfaat kepada mereka yang berhasrat untuk menunaikan ibadah tersebut pada masa hadapan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi platform yang berkesan dalam memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan ibadah Haji dalam kalangan muallaf. Melalui pendekatan simulasi dan pembelajaran secara praktikal, program ini diharap dapat memberikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai tatacara pelaksanaan ibadah haji, di samping menghayati hikmah ibadah ini dalam bentuk keimanan, kesabaran dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Justeru, pelaksanaan Program Ikon Muallaf 2.0 diharapkan akan terus mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam usaha melahirkan muallaf yang berilmu, berkeyakinan serta berdaya tahan dalam menghayati ajaran Islam secara syumul. Usaha ini sekali gus menjadi pemangkin ke arah pembentukan masyarakat yang lebih berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.