Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 26 Muharram 1448 bersamaan 11 Julai 2026–Keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara merupakan nikmat besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang terhasil melalui keimanan, ketakwaan serta ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, Rasul-Nya dan ulil amri. Apabila pemimpin melaksanakan amanah dengan adil berlandaskan syariat Islam, manakala rakyat pula memberikan ketaatan, kerjasama dan sokongan yang bertanggungjawab, maka lahirlah suasana yang harmoni, bersatu padu dan saling mempercayai. Keadaan ini akan menghindarkan negara daripada perpecahan, persengketaan dan huru-hara, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan rakyat. Dengan demikian, keamanan dan kemakmuran negara dapat terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Ketaatan Kepada Raja Asas Kemakmuran Negara yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abd Wahab, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-237 Semarak Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 pada malam tadi.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah Penghulu Mukim Kilanas, Daerah Brunei dan Muara; Ketua Kampung Bunut Perpindahan; Belia Masjid dan Ikatan Persatuan Belia Bunut (IKERAB) Kampung Bunut Perpindahan; Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Kampung Bunut; Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Hussaini bin Mohsin, Penghulu Mukim Kilanas, Daerah Brunei dan Muara, Penasihat Masjid Kampung Bunut yang bersiaran dari Masjid Kampung Bunut.
Diikuti dengan bacaan Surah Ar-Rahman beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abd Muiz bin Haji Japar, Imam Masjid Kampung Bunut, Masjid Kampung Bunut, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Bunut. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Muhd Azrol Alim bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid / Ketua Pemantau Zon 2, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Bunut.
Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd Khairoul Johani bin Haji Jumat, Ketua Kampung Bunut Perpindahan bersama Belia Masjid dan Ikatan Persatuan Belia Bunut (IKERAB) Kampung Bunut Perpindahan dari Masjid Kampung Bunut. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Shari bin Awang Murat, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Bunut, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Bunut.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.