Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA HAJI MOHD SALLEH, SUNGAI HANCHING BAGI TAHUN 1448H / 2026M

11 July 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA HAJI MOHD SALLEH, SUNGAI HANCHING BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Berakas, Sabtu, 25 Muharram 1448 bersamaan 11 Julai 2026–Bagi menyemai kecintaan terhadap Al-Quran serta menggalakkan generasi muda menjadikan pembacaannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian, Majlis Khatam Al-Quran terus diadakan di sekolah-sekolah ugama di seluruh negara. Penganjurannya bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada murid yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, malah menjadi antara usaha berterusan dalam mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran, di samping memperkukuh syiar Islam menerusi inisiatif Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sehubungan itu, seramai 25 orang murid Darjah VI, Sekolah Ugama Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching telah diraikan pada petang tadi dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Mohamad Khairul Shahrul bin Haji Duahim, Pemangku Penolong Pengarah, Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dan Doa Sebelum Membaca Al-Quran, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis. Acara diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim serta Doa Khatam Al-Quran yang dibacakan oleh Awang Abdul Raqeeb Izzuddin bin Abdul Muizz. Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan dikir.

Acara diteruskan dengan penyampaian Sijil Khatam Al-Quran serta acara merenjis minyak wangi kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Iskandarruddin Shah bin Haji Abdul Ghani, Tenaga Pengajar.

Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran seumpama ini diharap akan terus menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran, selaras dengan aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.​