Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA KASAT TAHUN 1448H / 2026M

11 July 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA KASAT TAHUN 1448H / 2026M

Lumapas, Sabtu, 25 Muharram 1448 bersamaan 11 Julai 2026–Majlis-majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan di sekolah-sekolah ugama di negara ini merupakan antara usaha dalam menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran serta menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan berugama. Penganjuran majlis seumpama ini juga mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memartabatkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, Sekolah Ugama Kasat telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran pada petang tadi bagi meraikan seramai 13 orang murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Daripada jumlah tersebut, 9 orang ialah murid lelaki manakala 4 orang lagi merupakan murid perempuan.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mui'zzah binti Kefli, Pegawai Pengajian Islam Daerah, Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beliau turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam, diikuti bacaan Takhtim serta Doa Khatam yang dibacakan oleh Awang Muhammad Israq Sya'ranii bin Abdullah. Acara turut diserikan dengan persembahan Dikir, diikuti penyampaian sijil kepada para peserta oleh Tetamu Khas Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Amiruddin bin Pengiran Haji Tejudin, Imam Masjid Kampung Kasat.

​