Berakas 'A', Khamis, 23 Muharram 1448 bersamaan 09 Julai 2026–Dalam usaha menyemarakkan budaya membaca Al-Quran serta melahirkan generasi celik Al-Quran yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, amalan membaca Al-Quran diterapkan kepada murid murid sejak awal persekolahan ugama sehingga mereka berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran pada peringkat Darjah VI dan seterusnya diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran.
Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Dato Othman, Lambak Kiri petang tadi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 51 orang murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, terdiri daripada 28 orang murid lelaki dan 23 orang murid perempuan. Majlis tersebut diadakan di Dewan Sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis Yang Mulia Dayang Hajah Salmaya binti Haji Asmat, Ketua Unit Institusi Khas, Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan Takhtim dan diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Mohamad Syahir Zakwan bin Mohamad Sumardi. Seterusnya, penyampaian sijil kepada para peserta khatam disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis.
Acara turut diserikan dengan persembahan Dikir Asyraqal sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Md Eizza bin Haji Suhaile, Tenaga Pengajar.
Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama merupakan antara usaha berterusan dalam membudayakan pembacaan dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan murid, selaras dengan aspirasi Negara Zikir. Majlis seumpama ini turut mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memartabatkan syiar Islam serta melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.