Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

HARI TERBUKA INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH SEMPENA PENGAMBILAN PELAJAR BAHARU PERINGKAT MENENGAH TAHUN 7  SESI PENGAJIAN 2027M

08 July 2026

HARI TERBUKA INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH SEMPENA PENGAMBILAN PELAJAR BAHARU PERINGKAT MENENGAH TAHUN 7 SESI PENGAJIAN 2027M

Bandar Seri Begawan, Rabu, 22 Muharram 1448 bersamaan 08 Julai 2026–Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Hari Terbuka sempena Pengambilan Pelajar Baharu Peringkat Menengah Tahun 7 bagi Sesi Pengajian 2027 selama dua hari, iaitu pada 08 dan 09 Julai 2026, bermula dari pukul 8.15 pagi hingga 11.30 pagi, bertempat di Dewan Serbaguna, Blok Asrama Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, seterusnya menyempurnakan pelancaran Hari Terbuka Institut. Sejurus selepas itu, Tetamu Kehormat mengadakan lawatan ke pameran dan aktiviti yang disediakan oleh Bahagian Al-Quran, Bahagian Akademik dan Dirasah Islamiah, Perpustakaan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta bazar jualan yang diadakan di perkarangan institut.

Sepanjang program berlangsung, para pengunjung berpeluang mengikuti sesi taklimat mengenai pengambilan pelajar baharu, mendapatkan pendedahan tentang kaedah hafazan, teknik pengukuhan hafalan, adab mempelajari Al-Quran, serta penerangan berkaitan kurikulum dan kehidupan di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai pameran yang mempamerkan pencapaian institut serta kemudahan pembelajaran yang disediakan.

Pada hari pertama, seramai 440 orang pelajar dan 53 orang guru pengawas daripada dua buah sekolah Arab serta 21 buah sekolah rendah kerajaan dan swasta telah menghadiri Hari Terbuka tersebut.

Manakala pada hari kedua, program ini dijangka disertai oleh 434 orang pelajar dan 56 orang guru pengawas daripada tiga buah sekolah Arab serta 20 buah sekolah rendah kerajaan dan swasta.

Penganjuran Hari Terbuka ini merupakan salah satu inisiatif pemberigaan kepada orang ramai mengenai pengambilan pelajar baharu ke Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, khususnya kepada bakal pelajar dan ibu bapa, serta penjaga mengenai peluang untuk melanjutkan pengajian di institut ini.

Di samping melahirkan huffaz Al-Quran yang berkualiti serta berakhlak mulia, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut memberikan penekanan terhadap kecemerlangan akademik bagi melahirkan graduan yang berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang dalam pelbagai bidang, termasuk pengajian Islam, sains dan teknologi.

INFO PENGAMBILAN PELAJAR BARU :

Borang Tawaran Pengambilan Pelajar Baharu (Peringkat Menengah Tahun 7) Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Sesi Pengajian 1448/2027M masih dibukakan bermula pada 13 Jun 2026 hingga 06 Ogos 2026.

Borang Permohonan boleh diisi dan dihantar secara dalam talian bermula 14 Julai hingga 06 Ogos 2026 melalui pautan berikut: pendaftaran@itqshhb.edu.bn

Bagi pemohon yang mempunyai kesulitan untuk mengisi borang dalam talian, pihak Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan menyediakan bantuan untuk mengisi borang dalam talian di Blok Pentadbiran lnstitut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Simpang 175, Km 2, Jalan RIPAS, Bandar Seri Begawan. 

Waktu operasi sebelah pagi sahaja iaitu pada pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari bermula 14 Julai 2026 hingga 30 Julai 2026 yang akan dibukakan setiap Hari Selasa dan Hari Khamis dan dikehendaki membawa dokumen yang berkaitan (sila rujuk borang pendaftaran).

Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengalu-alukan penyertaan pelajar yang berkelayakan dan berminat untuk mengikuti pengajian tahfiz serta akademik secara bersepadu demi melahirkan generasi Al-Quran yang berilmu, berakhlak dan berwawasan.​