Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA ORANG KAYA BESAR IMAS, SUBOK BAGI TAHUN 1447H / 2026M

08 July 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA ORANG KAYA BESAR IMAS, SUBOK BAGI TAHUN 1447H / 2026M

Berakas, Rabu, 22 Muharram 1448 bersamaan 08 Julai 2026–Sekolah Ugama Orang Kaya Besar Imas, Subok, pada petang tadi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 35 orang murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Daripada jumlah tersebut, 16 orang merupakan murid lelaki manakala 19 orang ialah murid perempuan. Majlis berkenaan diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop.

Penganjuran majlis ini bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada para murid yang telah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran setelah mengikuti pembelajaran di peringkat sekolah ugama.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Muhamad Dahrin bin Daud, Ketua Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, seterusnya bacaan Takhtim. Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran yang dibacakan oleh Awang Muhammad Afiq Aryan bin Kamarussalihen.

Majlis menyaksikan penyampaian Sijil Khatam Al-Quran serta acara merenjis minyak wangi kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis dengan diiringi oleh persembahan Dikir oleh murid Darjah IV dan V. Acara kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama seluruh negara adalah selaras dengan usaha berterusan kerajaan dalam melahirkan generasi yang celik Al-Quran serta menjadikan pembacaannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Selain itu, majlis seumpama ini turut mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuh syiar Islam, di samping memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan generasi muda di negara ini.

 

Foto: JPI​