Jerudong, Rabu, 22 Muharram 1448 bersamaan 08 Julai 2026–Ke arah mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, seramai 130 orang pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah Arab dan ugama di seluruh negara menerima sijil penghargaan masing-masing di Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang Kementerian Hal Ehwal Ugama yang diadakan di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, pada pagi tadi.
Majlis tersebut diadakan adalah untuk meraikan pelajar-pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dan membanggakan dalam peperiksaan awam yang telah diduduki pada tahun 2025.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei. Hadir sama ialah pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta ibu bapa dan penjaga para pelajar.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas kejayaan yang dikurniakan kepada para pelajar, di samping memberikan pengiktirafan terhadap kecemerlangan yang telah dicapai. Penganjurannya turut bertujuan menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar-pelajar lain agar terus berusaha meningkatkan prestasi akademik, selain mengetengahkan kepada masyarakat pencapaian cemerlang pelajar-pelajar sekolah Arab dan ugama dalam bidang pengajian ugama, Bahasa Arab dan akademik umum.
Atur cara dimulakan dengan persembahan Zainul Quran oleh pelajar-pelajar Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan khas daripada pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Kemuncak acara ialah penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang, guru-guru cemerlang serta anugerah sekolah Madrasah Mutaqaddimah yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Razak bin Haji Mohd Daud.