Tanah Jambu, Rabu, 22 Muharram 1448 bersamaan 08 Julai 2026–Seramai 20 orang Muslimah Masjid dari Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong telah menyertai Kelas Kemahiran Membuat Kuih Ardam yang diadakan di Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Program ini bertujuan melahirkan individu yang berdaya tahan dengan membekalkan kemahiran yang dapat membuka peluang menjana pendapatan, mewujudkan pekerjaan serta menceburi bidang keusahawanan secara mandiri. Selain itu, program ini turut memberikan pendedahan asas kepada para peserta mengenai kemahiran membuat kuih ardam, iaitu kuih tradisional yang semakin kurang dipraktikkan pada masa kini.
Turut menyertai kelas tersebut ialah Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, isteri kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Kelas kemahiran ini dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haswandi bin Haji Osman, Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Diharapkan penganjuran kelas seumpama ini akan terus memberi manfaat kepada muslimah masjid dan masyarakat dengan menyediakan kemahiran asas yang berguna, di samping meningkatkan pengetahuan serta menambah nilai kepada kemahiran sedia ada, khususnya dalam kalangan peserta sasaran.
Foto: JHEM