Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 19 Muharram 1448 bersamaan 04 Julai 2026–Tazkirah ini mengajak umat Islam untuk menghayati bahawa syurga Allah Subhanahu wa Ta'ala memiliki "resepi" yang telah ditunjukkan melalui al-Quran dan sunnah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Dua ramuan utama yang diketengahkan ialah ketakwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan menjunjung ketaatan kepada pemimpin dalam perkara yang diredhai Allah. Taqwa merupakan asas kepada kejayaan sebenar seorang Muslim, bukan sekadar dalam ibadah khusus, bahkan dalam amanah, akhlak dan kehidupan seharian. Seperti di dalam kisah masyhur Abdullah bin Umar bersama seorang penggembala kambing yang menjadi contoh unggul sifat muraqabah, iaitu keyakinan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala sentiasa melihat setiap perbuatan hambaNya. Kisah ini menzahirkan bahawa ketakwaan yang sebenar melahirkan kejujuran dan amanah walaupun tiada manusia yang menyaksikannya.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, nilai tersebut diterjemahkan melalui kesetiaan kepada institusi Raja, pemeliharaan keamanan negara, kepatuhan kepada undang-undang yang berlandaskan syariat serta sokongan terhadap usaha memartabatkan agama Islam. Seluruh masyarakat diajak untuk mengamalkan "resepi menuju syurga" dengan membina ketakwaan, memelihara amanah, serta menjadi rakyat yang berakhlak mulia dan menjunjung raja berlandaskan tuntutan Islam. Dengan menjadi rakyat yang bertakwa dan menjunjung raja, maka lahirlah sebuah masyarakat yang diberkati Allah Subhanahu wa Ta'ala serta sebuah negara yang terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan rahmatNya.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Resepi Menuju Ke Syurga: Rakyat Bertakwa, Menjunjung Raja yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-236 pada malam tadi.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas; Masjid Kampung Kilanas; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Ameerolbahrynee bin Haji Abdul Hamid, Ketua Kampung Kilanas dan Pemangku Ketua Kampung Jangsak, selaku Penasihat Bersama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas yang bersiaran dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Fahmie bin Awang Haji Metussin, Imam Tingkat II, Masjid Kampung Kilanas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Kilanas. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Ketua Imam Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.
Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Asma Al Husna beramai-ramai oleh Ahli Jawatankuasa Takmir dan Kumpulan Belia, Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohd Redzuan bin Haji Marzuki, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Ketua Imam Masjid Kampung Kilanas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Kilanas.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
