Berakas, Sabtu, 18 Muharram 1448 bersamaan 04 Julai 2026–Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448 Peringkat Negara yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta Kerabat Diraja dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan ll selaku Pengendali Bersama; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri ll selaku Pengendali Bersama; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448 Peringkat Negara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an iaitu Surah An-Nahl, ayat 41 hingga 44 oleh Yang Mulia Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin, Johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 1446H / 2025M dan Tadabbur disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Diikuti dengan Sembah alu-aluan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1448 Hijrah dan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah.
Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyatakan bahawa Peristiwa agung itu bukan sekadar catatan sejarah, bahkan suatu manhaj pembinaan umat: daripada tekanan kepada keteguhan, daripada perpecahan kepada perpaduan, daripada ketakutan kepada keyakinan, dan daripada kelemahan kepada kekuatan yang dipandu oleh iman, ilmu, sabar, tawakal dan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Seterusnya Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa Sambutan Ilal Hijrah 1448 mengangkat tema "Hijrah Penyelamat Aqidah". Tema ini amat tepat dan segar dengan keperluan semasa. Jika pada zaman Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam hijrah menjadi jalan menyelamatkan iman dan tauhid daripada penindasan serta ancaman, maka pada hari ini hijrah penyelamat aqidah ialah usaha berterusan untuk memelihara kesucian pegangan aqidah Ahli Sunnah wal Jama'ah, memperkukuh jati diri Islam serta membimbing generasi agar tetap teguh berpegang kepada ugama di tengah-tengah cabaran pemikiran dan arus globalisasi.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, Kerajaan Kebawah Duli Tuan Patik melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan yang lainnya serta pihak-pihak yang berkepentingan terus beriltizam dan komited dalam mengukuh dan menyuburkan kefahaman aqidah yang sahih melalui pelaksanaan inisiatif-insiatif yang tersusun dan inklusif yang menyasarkan kepada setiap peringkat masyarakat misalnya program 'Tanbih Wa Tahsin' dan Program al-Wa'yu yang dilaksanakan di bawah Jabatan Hal Ehwal Syariah. Program-program ini bermatlamat bagi meningkatkan kefahaman mengenai kesalahan dan penyelewengan akidah melalui ajaran-ajaran sesat serta kefahaman ekstrem dan pengganasan yang sangat bertentangan dengan amalan hidup berugama di negara ini.
Dalam pada itu, antara usaha yang paling signifikan dalam memastikan pemeliharaan aqidah dalam kalangan masyarakat dapat terus diperkukuhkan dan dimantapkan adalah dengan pelaksanaan Sistem Pendidikan Ugama Secara Formal sejak sekian lama di samping pemantauan Tauliah Mengajar yang dilaksanakan melalui Majlis Ugama Islam Brunei.
Alhamdulillah, negara kita terus menikmati keamanan dan keharmonian di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Tuan Patik yang sentiasa memberikan penekanan terhadap pemeliharaan aqidah, syiar Islam, perpaduan rakyat dan pembangunan negara yang seimbang antara kemajuan duniawi dan ukhrawi.
Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Titah.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Khas iaitu Puisi Dokumentari Hijrah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Jaya bin Haji Metussin, Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit, Setiausaha Pertama, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Yang Mulia Awang Muhammad Zulhilmi bin Haji Hasnan, Kerani Kanan, Pemangku Penyelia Baiduri Bank Sendirian Berhad; Yang Mulia Dayang Nurzaidah binti Harun, Guru Ugama Terlatih, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dayang Nor Fadizlina binti Haji Abd Rahman, Pegawai Pendidik Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya, Pemakluman Anugerah Ilal Hijrah menerusi tayangan video mengenai Penerima-Penerima Anugerah Tokoh Ugama Ilal Hijrah; Anugerah Jasawan Ilal Hijrah; Anugerah Cemerlang Ilal Hijrah; dan Anugerah Penghargaan Ilal Hijrah 1448.
Penerima Anugerah Tokoh Ugama Ilal Hijrah ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie.
Tokoh Ugama Ilal Hijrah menerima Wang Tunai $20,000.00 (Dua Puluh Ribu Dolar Brunei); Hadiah Iringan berupa Plak Kristal; Sijil Penghargaan; Kain Tenunan Brunei; dan Kemudahan Perubatan Percuma Dalam Wad Kelas Satu di mana-mana Rumah Sakit Kerajaan di Negara Brunei Darussalam.
Penerima Anugerah Jasawan Ilal Hijrah ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Md. Said.
Jasawan Ilal Hijrah menerima Wang Tunai $10,000.00 (Sepuluh Ribu Dolar Brunei); Hadiah Iringan berupa Plak Kristal; Sijil Penghargaan; Kain Tenunan Brunei; dan Kemudahan Perubatan Percuma Dalam Wad Kelas Satu di mana-mana Rumah Sakit Kerajaan di Negara Brunei Darussalam.
Penerima Anugerah Cemerlang Ilal Hijrah Kategori Dakwah ialah Yang Mulia Awang Haji Mohd Ukit bin Mokti@Ukit bin Mokti.
Penerima Anugerah Cemerlang Ilal Hijrah Kategori Dakwah menerima Wang Tunai $5,000.00 (Lima Ribu Dolar Brunei); Hadiah Iringan berupa Plak Kristal; Sijil Penghargaan; dan Kain Tenunan Brunei.
Penerima Anugerah Cemerlang Ilal Hijrah Kategori Pendidikan ialah Sekolah Membaca Al-Qur'an IQRA.
Penerima Anugerah Cemerlang Ilal Hijrah Kategori Masjid ialah Masjid Pengiran Muda 'Abdul Wakeel, Kiudang, Daerah Tutong.
Penerima Anugerah Cemerlang Ilal Hijrah Kategori Kebajikan dan Kesukarelawan ialah The Aftercare Support Association (AFSA).
Penerima Anugerah Cemerlang Ilal Hijrah Kategori Pendidikan, Kategori Masjid, Kategori Kebajikan dan Kesukarelawan menerima Wang Tunai $5,000.00 (Lima Ribu Dolar Brunei); Hadiah Iringan berupa Plak Kristal; Sijil Penghargaan; dan Frame Kain Tenunan Brunei.
Seterusnya, bagi Penerima Anugerah Penghargaan Ilal Hijrah Kategori Pewaqaf dan Muzakki.
Penerima Anugerah Penghargaan Ilal Hijrah Kategori Pewaqaf Pertama ialah Yang Mulia Awang Haji Hasbi bin Pehin Khatib Abdullah bersama isteri dan anak-anak.
Penerima Anugerah Penghargaan Ilal Hijrah Kategori Pewaqaf Kedua ialah Yang Mulia Malai Abd. Hamid bin Malai Haji Mashor, (Mewakili Keluarga Allahyarham Malai Haji Mashor bin Malai Haji Damit).
Penerima Anugerah Penghargaan Ilal Hijrah Kategori Muzakki ialah Haji Daud Properties.
Penerima-penerima Anugerah Penghargaan Ilal Hijrah Kategori Pewaqaf dan Muzakki menerima Wang Tunai $3,000.00 (Tiga Ribu Dolar Brunei); Hadiah Iringan berupa Plak Kristal; dan Sijil Penghargaan.
Majlis diakhiri dengan Bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.
Majlis dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kewangan; Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; dan Baiduri Bank Sendirian Berhad.
Tema bagi Majlis Tahun ini ialah Hijrah Penyelamat Aqidah.

























Foto: JP JPM dan PDI