Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL SKIM BIMBINGAN LANJUTAN I MUALLAF  SIRI KE–111 (LELAKI) DAN SIRI KE-112 (PEREMPUAN)

02 July 2026

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL SKIM BIMBINGAN LANJUTAN I MUALLAF SIRI KE–111 (LELAKI) DAN SIRI KE-112 (PEREMPUAN)

Negara Brunei Darussalam, Khamis, 16 Muharam 1448 bersamaan 02 Julai 2026–Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dengan kerjasama Cawangan Da'wah Daerah-Daerah, pada petang tadi mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Skim Bimbingan Lanjutan I Muallaf Siri Ke-111 (Lelaki) dan Siri ke-112 (Perempuan) secara serentak di keempat-empat daerah.

Di Daerah Belait, majlis diadakan di Dewan Teater Pusat Pembelajaran dan Perkembangan Kesihatan Hospital Suri Seri Begawan Daerah Belait. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta.

Sementara itu, di Daerah Brunei dan Muara pula, majlis diadakan di Dewan Al-Mau'izhah, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Kampung Pulaie. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta dan hadiah kepada peserta terbaik.

Di Daerah Tutong pula, majlis diadakan di Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Alizan bin Haji Ramle, Pemangku Penguasa Dakwah dan Tabligh, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta.

Manakala di Daerah Temburong, majlis diadakan di Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Temburong. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Hazimin bin Haji Metali, Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta.

Skim Bimbingan Lanjutan I Muallaf Siri Ke-111 (Lelaki) dan Siri Ke-112 (Perempuan) telah selesai dikendalikan selama 14 hari bermula 16 Jun 2026 hingga 2 Julai 2026, kecuali hari Ahad. Seramai 140 orang peserta telah mengikuti skim tersebut. Daripada jumlah tersebut, seramai 48 orang adalah dari Daerah Brunei dan Muara, diikuti 44 orang dari Daerah Tutong, 31 orang dari Daerah Belait, dan 17 orang dari Daerah Temburong.

Skim ini bertujuan memberikan sokongan moral, spiritual dan psikologi kepada para muallaf, di samping membimbing mereka supaya lebih memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

Sepanjang skim berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai mata pelajaran dan aktiviti, antaranya Iqra'; Tauhid I; Fiqh Solat I (termasuk sembahyang sunat, musafir dan sembahyang bagi pesakit); Fiqh Munakahat, Sejarah Islam I, Akhlak I, Amali I, Teori dan Praktikal Pengurusan dan Penyempurnaan Jenazah yang dikendalikan oleh penggapai daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Sesi Kongsi Sama mengenai Isu Permasalahan Rumah Tangga yang disampaikan oleh Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama terus komited dalam memperkasa program bimbingan dan pendidikan kepada para muallaf bagi membantu mereka mendalami ilmu pengetahuan Islam serta mengukuhkan penghayatan terhadap ajaran agama.

Sehubungan itu, para muallaf yang belum mengikuti Skim Bimbingan Muallaf anjuran Pusat Da'wah Islamiah adalah dialu-alukan untuk mendaftar dengan mendapatkan borang pendaftaran di Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama atau Pejabat Cawangan Da'wah di daerah masing-masing.

 

Foto: PDI​​