Bandar Seri Begawan, Selasa, 14 Muharram 1448 bersamaan 30 Jun 2026–Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) telah menganjurkan Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran Kali Kedua bertempat di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Perdana Menteri.
Mengangkat tema “Pendidikan Tahfiz Al-Quran: Inovasi di Era Teknologi", simposium ini merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran pertama pada tahun 2024. Ia memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan tahfiz yang progresif, inovatif dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Penganjuran kali ini menampilkan format yang lebih komprehensif, melibatkan sesi pembentangan utama pada waktu pagi dan sesi selari pada sebelah petang, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak kertas kerja untuk dibentangkan. Antara fokus perbincangan termasuk pendidikan tahfiz, teknologi, pendidikan qiraat serta disiplin ilmu berkaitan.
Simposium ini bertujuan untuk mempromosikan hasil kajian, inovasi serta amalan terbaik dalam pendidikan tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam, di samping menyediakan platform bagi perkongsian ilmu dan pertukaran pandangan dalam kalangan pakar, penyelidik, pendidik serta pelajar.
Selain itu, simposium ini turut berperanan memperkasa metodologi pengajaran dan pembelajaran tahfiz agar lebih sejajar dengan keperluan era digital, serta menggalakkan kolaborasi strategik antara institusi dan pihak berkepentingan dalam pembangunan pendidikan tahfiz.
Di samping itu, simposium ini juga menghimpunkan kertas kerja berkualiti untuk diterbitkan dalam Kandungan Shoutul Huffaz 3 (Jurnal ITQSHHB).
Majlis pada pagi tadi disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, para pegawai, pensyarah, guru, kakitangan serta pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dengan Qiraat Riwayat Ad-Duriy dari Imam Ibnu 'Amru, Surah Ali 'Imran ayat 189 hingga 194, yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Yusuf Haikal bin Mohamad Hashim, siswa Tahun 2 Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat. Manakala Intisari ayat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nurhidayatullah Al Mu'min bin Awang Rossnan, juga siswa Tahun 2 program yang sama.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, diikuti ucapan perasmian oleh Tetamu Kehormat.
Majlis juga diserikan dengan tayangan video. Kemudiannya, sesi pembentangan oleh Pembentang Utama Pertama, iaitu Yang Mulia Prof Madya Dr Khairul Anuar bin Mohammad, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Manakala Pembentang Utama kedua oleh Yang Mulia Dr Mohamed Fathy Mohamed Abdelgelil, Penolong Professor Kanan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Acara pembentangan juga diadakan pada sesi selari sebelah petang (sila rujuk buku aturcara program).
Sesi pembentangan diteruskan pada sebelah petang melalui sesi selari, diikuti sesi soal jawab bersama peserta. Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada para pembentang ucaptama.
Acara diakhiri dengan bacaan doa oleh Yang Mulia Dr Sheikh Mutiaa Al-Kabbani Mahmoud, Pensyarah Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Simposium ini mencerminkan komitmen berterusan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam memperkasa pendidikan tahfiz negara dengan pendekatan yang relevan dan responsif terhadap perkembangan teknologi semasa.