Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

 MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PELAMBAYAN BAGI TAHUN 1448H / 2026M

30 June 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PELAMBAYAN BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Bandar Seri Begawan, Selasa, 14 Muharram 1448 bersamaan 30 Jun 2026–Majlis Khatam Al-Quran yang menjadi acara tahunan sekolah-sekolah ugama di negara ini bukan sahaja bertujuan meraikan murid-murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, malah menjadi wadah menyemai kecintaan terhadap Al-Quran ke arah melahirkan generasi yang beriman, beramal, bertakwa serta menghayati nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Sehubungan itu, Sekolah Ugama Pelambayan petang tadi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Murid-Murid Darjah VI bagi meraikan seramai 33 peserta khatam, terdiri daripada 17 orang murid lelaki dan 16 orang murid perempuan. Majlis diadakan di Dewan Persidangan Pusat Da'wah Islamiah, Kampung

Pulaie.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Malai Suhana binti Haji Sheikh Nikman, Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang seterusnya memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan takhtim serta disusuli bacaan Doa Khatam yang dipimpin oleh Awang Mohammad Khairul Iqbal bin Mohammad Ferijal.

Penyampaian sijil kepada para peserta khatam kemudiannya disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis, yang turut diserikan dengan persembahan Dikir Asyraqal. Majlis diakhiri dengan bacaan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohamad Yakob bin Haji Hussein.

Majlis tersebut turut menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan penjaga, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuh pendidikan ugama serta menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid.

 

​Foto: JPI