Temburong, Selasa, 14 Muharram 1448 bersamaan 30 Jun 2026–Bagi memberi pendedahan kepada para peserta mengenai sejarah peperangan yang berlaku dalam perkembangan syiar Islam pada zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, di samping meningkatkan pengetahuan dan pemahaman terhadap sejarah Islam serta menyemai rasa cinta kepada Baginda, mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi pada masa kini, dan mengambil iktibar daripada keteguhan iman, kesungguhan serta pengorbanan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersama para sahabat dalam menegakkan agama Islam, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong serta Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong telah mengadakan Program Sejarah Islam bertajuk Peperangan Zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.
Program tersebut telah diadakan pada pagi tadi di Masjid Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong.
Program diisikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nadhirah binti Haji Lahit, Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas selaku Ketua Unit Kelas Bimbingan Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Hadir menyertai program berkenaan ialah pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta para muslimah dari Daerah Temburong dan Masjid Kampung Salambigar, Daerah Brunei dan Muara.
Melalui penganjuran program ini, para peserta berpeluang memahami cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersama para sahabat dalam usaha menyebarkan syiar Islam. Program ini sekali gus diharapkan dapat memupuk semangat peserta untuk terus mendalami ilmu sejarah Islam serta menghayati nilai-nilai perjuangan, ketabahan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu sebagai pedoman dalam kehidupan seharian.