Bandar Seri Begawan, Isnin, 13 Muharram 1448 bersamaan 29 Jun 2026–Enam dekad sejak peletakan batu asasnya pada tahun 1966, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SA RIPAD) terus melakar pelbagai pencapaian membanggakan dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berwawasan, sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkasa pendidikan Arab dan Islam di Negara Brunei Darussalam.
Sebagai tanda kesyukuran atas perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai sepanjang enam dekad penubuhannya, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit pagi tadi telah mengadakan Majlis Sambutan Jubli Intan Sempena 60 Tahun Peletakan Batu Asas Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang seterusnya menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Jubli Intan tersebut.
Majlis yang diadakan di Dewan Utama Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit itu dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti Lagu Rasmi Sekolah serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut, Guru Besar SA RIPAD.
Antara pengisian majlis termasuk tayangan video khas bertajuk Menyelusuri Sejarah Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD), pameran pendidikan yang mengetengahkan pelbagai program, inisiatif, inovasi serta pencapaian sekolah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, upacara perasmian Bilik Galeri Raja Isteri Pengiran Anak Damit serta lawatan ke Showcase Keusahawanan Alumni Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Penganjuran majlis ini merupakan wadah untuk mengenang sejarah penubuhan sekolah, menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik, serta meraikan sumbangan warga sekolah dan alumni yang telah memainkan peranan penting dalam mewarnai perjalanan serta perkembangan Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit sejak penubuhannya. Di samping itu, majlis ini turut bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga sekolah dan alumni, di samping menjadi sumber inspirasi kepada generasi pelapis untuk terus memperkasa kecemerlangan pendidikan ugama dan Arab demi kesinambungan legasi yang telah dibina selama enam dekad.











Foto: JPI