Tutong, Ahad, 12 Muharram 1448 bersamaan 28 Jun 2026–Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel Kiudang, Daerah Tutong dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Program Riadah Hijrah berupa walkaton sempena menyambut kedatangan awal Muharram 1448 Hijrah. Acara diadakan pada pagi tadi di masjid berkenaan.
Program ini merupakan salah satu usaha untuk menghayati semangat hijrah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam serta mendorong masyarakat melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik berlandaskan nilai-nilai Islam. Selain itu, ia turut menekankan kepentingan kesihatan fizikal, pembentukan disiplin diri, pengukuhan ukhuwah Islamiah, serta perpaduan dalam kalangan jemaah dan penduduk setempat.
Antara objektif utama program ini adalah untuk menyuntik semangat hijrah dalam kalangan peserta, di samping meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan. Program ini juga bertujuan mengeratkan silaturahim antara jemaah masjid dan penduduk kampung serta memupuk keimanan dan perpaduan masyarakat.
Hadir selaku Tetamu Khas pada program ini ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Program turut diserikan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Aidil Sufian bin Md Yassin, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong.
Semoga program seumpama ini menjadi wadah berkesan dalam memperkukuhkan hubungan masyarakat, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat, serta menyemarakkan penghayatan nilai-nilai hijrah dalam kehidupan seharian.