Bandar Seri Begawan, Ahad, 12 Muharram 1446 bersamaan 28 Jun 2026–Sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448, Belia dan Beliawanis Syababus Salam Masjid Omar Ali Saifuddien dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan mengadakan Walkathon Ilal Hijrah 1448H awal pagi tadi bertempat perkarangan masjid berkenaan.
Acara tersebut diadakan adalah sebagai salah satu usaha mengimarahkan masjid serta menyemarakkan penghayatan semangat hijrah melalui penglibatan aktif golongan belia, beliawanis dan para jemaah masjid. Selain itu, acara ini juga bertujuan menggalakkan budaya hidup sihat, meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menunaikan Sembahyang Fardhu Subuh secara berjemaah serta mengeratkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan warga masjid dan masyarakat setempat.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program ini turut dihadiri dari oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah, Belia dan Beliawanis Syababus Salam, kumpulan belia masjid serta para jemaah bersama keluarga masing-masing.
Melalui penganjuran Walkathon Ilal Hijrah 1448H ini, pihak penganjur berharap agar semangat hijrah dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan positif yang berterusan, di samping melahirkan generasi belia masjid yang berilmu, berakhlak, berwawasan dan istiqamah dalam memakmurkan rumah Allah sebagai pusat pembangunan ummah. Program ini juga diharap dapat memperkukuhkan peranan masjid sebagai pusat aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan pembangunan insan.