Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PENGIRAN BENDAHARA LAMA BAGI TAHUN 1448H / 2026M

27 June 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PENGIRAN BENDAHARA LAMA BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 11 Muharram 1448 bersamaan 27 Jun 2026–Penganjuran majlis khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama seluruh negara adalah selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran serta menjadikan pembacaannya sebagai amalan hidup beragama.

Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Pengiran Bendahara Lama, Bandar Seri Begawan telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran pada petang tadi bertempat di Dewan Blok B sekolah berkenaan bagi meraikan seramai 23 murid Darjah VI, yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran setelah mengikuti pembelajaran di peringkat sekolah ugama.

Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Dayang Malai Suhana binti Haji Sheikh Nikman, Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Amran bin Haji Majid, Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Bendahara Lama. Majlis diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Acara diteruskan dengan bacaan Takhtim dan bacaan Doa Khatam Al-Quran.

Seterusnya, majlis menyaksikan penyampaian sijil dan merenjis minyak wangi kepada para peserta khatam disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis dengan diiringi persembahan Dikir Marhaban oleh murid-murid Darjah IV dan V, dan diikuti oleh dan ibu bapa serta penjaga peserta khatam, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Penganjuran majlis khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama seluruh negara adalah selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran serta menjadikan pembacaannya sebagai amalan hidup beragama. Ia juga mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuh syiar Islam dan menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan generasi muda di negara ini.​