Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA BERAKAS GARISON BAGI TAHUN 1448H / 2026M

27 June 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA BERAKAS GARISON BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Berakas, Sabtu, 11 Muharram 1448 bersamaan 27 Jun 2026–Dalam usaha menyemarakkan budaya membaca Al-Quran serta melahirkan generasi celik Al-Quran yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, amalan membaca Al-Quran diterapkan kepada murid-murid sejak awal persekolahan ugama sehingga mereka berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran pada peringkat Darjah VI dan seterusnya diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran.

Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Berakas Garison telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 20 orang murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan Al-Quran. Majlis tersebut diadakan di Surau Al Fa'izun, Berakas Garison.

Daripada jumlah tersebut, seramai 8 orang terdiri daripada murid lelaki dan 12 orang murid perempuan.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Sunarty binti Ahmad, Ketua Unit Akademik dan Peperiksaan, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan Takhtim, dan diikuti dengan bacaan Doa Khatam yang dipimpin oleh Awang Ahmad Danial bin Ahmad Faizal.

Seterusnya, majlis menyaksikan penyampaian sijil dan merenjis minyak wangi kepada para peserta khatam disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis dengan diiringi persembahan Dikir Marhaban oleh murid-murid Darjah IV dan V sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Bismi Shahduan bin Haji Mohamed.

Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama memainkan peranan penting dalam membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan generasi muda selaras dengan aspirasi Negara Zikir. Selain menjadi wadah untuk menggalakkan kecintaan terhadap Al-Quran, majlis seumpama ini juga mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memartabatkan nilai-nilai Islam serta memperkukuhkan penghayatannya dalam kehidupan seharian masyarakat di Negara Brunei Darussalam.​