Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 12 Muharram 1448 bersamaan 27 Jun 2026–Sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2026 yang bertemakan Sindiket Dadah Musuh Sejagat, masyarakat diseru untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran dan memainkan peranan dalam membanteras ancaman penyalahgunaan serta pengedaran dadah haram. Sindiket dadah merupakan ancaman yang mampu menghancurkan kehidupan individu, keluarga dan masyarakat. Golongan muda sering menjadi sasaran melalui pengaruh rakan, media sosial serta pujukan yang menggambarkan dadah sebagai sesuatu yang biasa, sedangkan kesannya boleh membawa kepada ketagihan, keruntuhan masa depan dan pelbagai masalah sosial.
Dalam Islam, akal merupakan nikmat besar yang perlu dipelihara. Segala perkara yang merosakkan akal adalah ditegah, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: “Setiap yang memabukkan adalah haram." (Riwayat Muslim). Masyarakat diingatkan agar tidak sesekali mencuba dadah walaupun sekali, memilih pergaulan yang baik serta bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram. Sindiket dadah mencari keuntungan, namun masyarakat menanggung kerugian. Oleh itu, usaha membanteras dadah memerlukan sokongan dan tanggungjawab bersama demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Demikian antara inti pati Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Penolong Ketua Bahagian Pengembangan Da'wah (Da'wah Khas), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, sempena Munajat Khas Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-235 dengan Kerjasama Biro Kawalan Narkotik Sempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2026.
Program Munajat Khas malam tadi disemarakkan oleh warga kerja Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri. Turut menyertai, para jemaah dari beberapa buah masjid, dan warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama serta individu dari kediaman masing-masing.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail, Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri dari Ibu Pejabat Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri, Jalan Tungku Gadong.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohamad Wendy bin Haji Awang @Abd Razak, Ketua Pegawai Narkotik I, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri dari Ibu Pejabat Biro Kawalan Narkotik, Jalan Tungku Gadong. Seterusnya, Bacaan Doa Munajat serta Doa Khas Sempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2026 oleh Yang Mulia Awang Mohamad Uslly Zam bin Budin, Guru Ugama Terlatih Tingkat II, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri dari Biro Kawalan Narkotik Cawangan Daerah Belait. Selesai Tazkirah, disusuli dengan laungan Selawat Asy-Syifa beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Rozaini bin Haji Abd Manaf, Pegawai Pendidikan Ugama, Biro Kawalan Narkotik Cawangan Daerah Tutong, Jabatan Perdana Menteri dari Biro Kawalan Narkotik Cawangan Daerah Tutong. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Osmawadi bin Haji Talip, Pegawai Pelajaran, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri dari Ibu Pejabat Biro Kawalan Narkotik, Jalan Tungku Gadong.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.