Kilanas, Rabu, 08 Muharram 1448 bersamaan 24 Jun 2026–Dalam usaha mempertingkatkan pencapaian murid dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Tahun 2026, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IV pada pagi tadi menganjurkan Program An-Najah bertemakan Menuju Puncak Gemilang SSSRU 2026 yang diadakan di Bilik Ibadat, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nurul Bolkiah, Kilanas.
Program berkenaan diadakan sebagai salah satu inisiatif bagi meningkatkan motivasi, keyakinan dan kesediaan murid-murid Darjah VI dalam menghadapi peperiksaan awam ugama yang dijadualkan berlangsung pada September depan.
Antara pengisian utama program ialah ceramah motivasi yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal ugama.
Turut serta dalam program tersebut ialah murid-murid Darjah VI sesi pagi dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nurul Bolkiah, Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malik, Bengkurong dan Sekolah Ugama Masin.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat menyuntik semangat, memperkukuhkan azam serta meningkatkan kesediaan mental dan emosi para murid dalam usaha mencapai kecemerlangan akademik, khususnya dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Tahun 2026.