Kianggeh, Rabu, 08 Muharram 1448 bersamaan 24 Jun 2026-Dalam usaha meningkatkan penghayatan Al-Quran dalam kalangan murid sekolah ugama, Sekolah Ugama Mabohai pada petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 37 orang murid Darjah VI yang terdiri daripada 22 orang murid lelaki dan 15 orang murid perempuan, bertempat di dewan sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Razak bin Haji Md Daud, Ketua Unit Perkembangan dan Dokumentasi, Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Acara diteruskan dengan bacaan Takhtim dan seterusnya bacaan Doa Khatam oleh Awang Muhd Syed Safiuddin @ Muhd Saifullah bin Mohd Dairuszam.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada para peserta khatam yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis dengan diiringi dengan persembahan Dikir Marhaban sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Masardi bin Haji Dewa, Tenaga Pengajar sekolah berkenaan.
Dengan sokongan dan kehadiran para ibu bapa serta penjaga, majlis-majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di sekolah-sekolah ugama bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan pencapaian murid dalam pembacaan Al-Quran, malah berperanan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara pihak sekolah dan keluarga dalam usaha membentuk generasi celik Al-Quran dan berakhlak mulia. Inisiatif seumpama ini juga merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuhkan penghayatan hidup berugama dalam kalangan murid-murid, di samping menyemarakkan syiar Islam serta melahirkan masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam di negara ini.