Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA RIMBA II BAGI TAHUN 1448H / 2026M

23 June 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA RIMBA II BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Rimba, Selasa, 07 Muharram 1448 bersamaan 23 Jun 2026–Majlis-majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama seluruh negara kini giat dilaksanakan menjelang tamatnya persekolahan ugama bagi murid-murid Darjah VI. Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada murid-murid yang berjaya menamatkan bacaan Al-Quran serta meraikan pencapaian mereka setelah mengikuti pembelajaran di peringkat sekolah ugama.

Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Rimba II, Daerah Brunei dan Muara pada petang tadi  mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 14 orang murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Majlis didakan di Dewan Sukmaindra, sekolah berkenaan.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Muhamad Dahrin bin Daud, Ketua Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dan doa sebelum membaca Al-Quran. Bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Acara diteruskan dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran.

Sejurus selepas itu, majlis menyaksikan penyampaian Sijil Khatam Al-Quran dan acara merenjis minyak wangi kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis bersama ibu bapa dan penjaga murid-murid khatam, diiringi dengan persembahan dikir. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Penganjuran majlis-majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama seluruh negara merupakan antara usaha berterusan dalam mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran serta menjadikan pembacaannya sebagai amalan hidup berugama.

Selain itu, penganjuran majlis seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuh syiar Islam serta menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan generasi muda di negara ini.​