Belait, Ahad, 05 Muharram 1448 bersamaan 21 Jun 2026–Sejajar dengan inisiatif kerajaan dalam menangani isu kebersihan di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada pagi tadi telah menganjurkan Kempen Kebersihan 2026 bertempat di Tapak Penurunan dan Penaikan Perahu, Kampung Lumut serta Taman Rekreasi Pantai Lumut, Daerah Belait.
Majlis pelancaran kempen telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku tetamu kehormat.
Hadir beramai-ramai menyertai kempen tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; pegawai kanan, pegawai serta kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut serta belia dan beliawanis daripada Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, di samping ahli Majlis Perundingan Kampung serta penduduk Kampung Sungai Taring dan Kampung Lumut, Daerah Belait.
Melalui aktiviti seumpama ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama berhasrat memperkukuhkan kesedaran serta penghayatan masyarakat terhadap kepentingan kebersihan sebagai sebahagian daripada iman dan amalan harian. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kementerian dengan penduduk Kampung Sungai Taring dan Kampung Lumut.
Kempen Kebersihan 2026 dianjurkan oleh Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Unit Kesihatan, Keselamatan, Kawalan Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta kerjasama Ketua Kampung Sungai Taring, Kampung Lumut Daerah Belait dan penduduknya. Turut sama memberikan sokongan ialah Jabatan Alam Sekitar dan Rekreasi (JASTRE), Kementerian Pembangunan, serta Jabatan Perikanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.








Foto: PDI