Pulaie, Sabtu, 04 Muharram 1448 bersamaan 20 Jun 2026–Sebagai tanda penghargaan kepada para usahawan Muallaf yang sentiasa menunjukkan komitmen serta memberikan sokongan berterusan terhadap Program Pop-Up Sale Usahawan Muallaf yang diadakan setiap dua (2) minggu sekali, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Pengupayaan Muallaf), petang tadi telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memasak bagi Muallaf dan Apresiasi Usahawan Muallaf sempena ulang tahun pertama program tersebut.
Majlis yang diadakan di Dewan Mau'izhah, Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Pulaie itu telah diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin, Pegawai Perkembangan Ugama selaku Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah. Majlis kemudiannya diteruskan dengan tayangan klip video Pertandingan Memasak bagi Muallaf yang telah diadakan pada sebelah pagi.
Seterusnya, keputusan Pertandingan Memasak bagi Muallaf diumumkan oleh juri jemputan, Yang Mulia Dayang Nur Zahidah binti Abdullah Arin. Johan ialah Kumpulan ZulLia yang dianggotai oleh Awang Muhammad Faizul bin Muhammad Azlan dan Dayang Hajah Yulia binti Abdullah). Johan membawa pulang wang tunai berjumlah BND200 dolar, sebuah piala dan sijil penyertaan. Naib Johan ialah Kumpulan Babu Gemilang yang dianggotai oleh Dayang Hajah Suzilawati binti Abdullah dan Hajah Nur Surayya Syahirah binti Haji Mohd Yusof, membawa pulang wang tunai berjumlah BND150 dolar, sebuah piala dan sijil penyertaan. Manakala Tempat Ketiga disandang oleh Kumpulan Merak Kayangan, dianggotai oleh Dayang Nur Zahirah binti Abdullah Meling dan Dayang Siti Azizah binti Muhammad Nur. Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah BND100 dolar, sebuah piala dan sijil penyertaan. Saguhati Kumpulan Mom's Kitchen yang dianggotai oleh Dayang Hajah Junaidah binti Abdullah dan Dayang Hajah Mariah binti Abdullah yang membawa pulang wang tunai berjumlah BND50 dolar, sebuah piala dan sijil penyertaan. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah Pertandingan Memasak bagi Muallaf yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada para vendor Program Pop-Up Sale Usahawan Muallaf bagi sesi 2025M/2026M. Sepanjang tempoh setahun pelaksanaan program tersebut, seramai 17 orang vendor telah menyertai Program PopUp Sale Usahawan Muallaf.
Sejurus itu, sijil penghargaan kepada juri jemputan telah disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah. Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Surah Al-'Asr dan Tasbih Kaffarah. Penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada para usahawan Muallaf yang aktif menyertai Program Pop-Up Sale Usahawan Muallaf, malah turut menzahirkan komitmen Pusat Da'wah Islamiah dalam memperkasa pembangunan ekonomi masyarakat Muallaf.
Selain itu, program tersebut turut menyediakan platform pemasaran dan tapak jualan yang dapat membantu para usahawan Muallaf mempromosi serta memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai. Melalui sokongan dan bimbingan berterusan daripada Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah diharapkan program ini akan menjadi pemangkin serta sumber inspirasi kepada para usahawan Muallaf untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti kehidupan mereka. Pada masa yang sama, usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan, pemerkasaan dan kesejahteraan masyarakat Muallaf di Negara Brunei Darussalam.











Foto: PDI