Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-234 (KHAS UNTUK WANITA KE-36)

20 June 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-234 (KHAS UNTUK WANITA KE-36)

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 05 Muharram 1448 bersamaan 20 Jun 2026–Wanita memainkan peranan penting sebagai ibu, isteri, anak dan saudara perempuan dalam mencetuskan perubahan positif dalam sesebuah keluarga. Antara peranan wanita sebagai pencetus hijrah dalam keluarga ialah membina suasana rumah yang berteraskan iman, menjadi pendidik yang berhikmah serta memperkukuhkan amalan berdoa demi kesejahteraan keluarga. Perubahan yang bermula daripada diri sendiri seperti menjaga solat, mendekati al-Quran dan memperbaiki akhlak mampu memberi kesan positif kepada seluruh ahli keluarga. Walaupun usaha membawa keluarga ke arah kebaikan kadangkala berdepan cabaran, para wanita diseru agar terus bersabar, istiqamah dalam memberi teladan yang baik serta tidak putus berdoa kerana hidayah adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Wanita Sebagai Pencetus Hijrah Dalam Keluarga yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nur Hasyimah binti Haji Mohd Yassin, Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-36 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-234 pada malam tadi dari Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Daerah Tutong.

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para muslimah dan jemaah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Daerah Tutong serta beberapa lagi masjid di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja wanita di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dr. Noryati binti Haji Ibrahim, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Syariah, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Suhana @ Syifa Hannani binti Haji Abd Hamid, Pegawai Pelajaran, Bahagian Pentadbiran, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Normasuzanah binti Awang Badarudin, Pegawai Ugama, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Norlee Rohaini binti Md Daud, Penolong Pegawai Penyiasatan Hal Ehwal Ugama, Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Hazimah binti Haji Aji, Pegawai Ugama, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.  Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.