Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PUSAR ULAK BAGI TAHUN 1448H / 2026M

18 June 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PUSAR ULAK BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Bandar Seri Begawan, Khamis, 02 Muharram 1448 bersamaan 18 Jun 2026–Seramai 26 orang murid Darjah VI Sekolah Ugama Pusar Ulak, terdiri daripada 13 murid lelaki dan 13 murid perempuan, telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan pada petang tadi di dewan sekolah berkenaan setelah berjaya menamatkan pembacaan 30 juzuk Al-Quran.

Hadir selaku Tetamu Khas majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Norismawati binti Haji Ahmad, Guru Besar Sekolah Rendah Pusar Ulak, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Khas. Seterusnya, para peserta khatam memperdengarkan bacaan surah-surah lazim, diikuti bacaan Takhtim dan Doa Khatam yang dipimpin oleh Awang Abdul Aqib bin Adanan.

Penyampaian sijil kepada para peserta khatam telah disempurnakan oleh Tetamu Khas, sambil diiringi dengan persembahan dikir. Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Mohd Norlizal bin Haji Mesali, Tenaga Pengajar Sekolah.

Majlis Khatam Al-Quran ini diadakan bagi meraikan murid-murid yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, di samping melahirkan generasi celik Al-Quran serta menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan berterusan dalam kehidupan seharian. Ia juga merupakan salah satu usaha Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuhkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

 

​Foto: JPI