Bandar Seri Begawan, Khamis, 02 Muharram 1448 bersamaan 18 Jun 2026–Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan setiap tahun merupakan antara usaha berterusan sekolah-sekolah ugama di negara ini dalam mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran, beriman, beramal dan bertakwa, di samping meraikan murid-murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Sehubungan itu, Sekolah Ugama Sekolah Sukan telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 44 peserta khatam yang terdiri daripada 31 murid lelaki dan 13 murid perempuan. Majlis tersebut diadakan di Dewan Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Mahmod Fakhrul Razi bin Pengiran Hamzah, Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Tungku, Gadong, Mukim Gadong 'A', yang memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Muhammad Noor Qaiser Darwishah bin Muhammad Hidayat.
Penyampaian sijil kepada para peserta khatam kemudiannya disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis, yang turut diiringi dengan persembahan Dikir Asyraqal. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Muhd Nasiruddin bin Pengiran Haji Abu Bakar, Imam Masjid Universiti Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis tersebut turut menjadi platform bagi mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan penjaga, di samping mencerminkan usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuhkan pendidikan ugama dan menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid.






Foto: JPI