Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS BACAAN DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN HIJRAH 1448 PERINGKAT DAERAH TEMBURONG

16 June 2026

MAJLIS BACAAN DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN HIJRAH 1448 PERINGKAT DAERAH TEMBURONG

Temburong, Selasa malam Rabu, 01 Muharram 1448 bersamaan 16 Jun 2026-Bagi menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam yang termaktub dalam Taqwim Hijrah, iaitu Sambutan Tahun Baharu Hijrah, Negara Brunei Darussalam lewat petang tadi telah mengadakan Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1448 di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1448 Peringkat Daerah Temburong turut diadakan lewat petang tadi di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.

Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Hassan Baha bin Haji Umar, Pemangku Pegawai Daerah Temburong.

Kira-kira 250 orang yang terdiri daripada ketua-ketua cawangan jabatan, para pegawai dan kakitangan jabatan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, ahli Persatuan Saudara Baru Temburong (PESAT), guru-guru Sekolah Ugama dan Sekolah Arab (Lelaki dan Perempuan), serta anggota pasukan beruniform hadir memeriahkan majlis tersebut.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah 1447 dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Syahmi bin Hj Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid dan Imam Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong, diikuti dengan sembahyang Fardhu Maghrib Berjemaah. Seterusnya, para jemaah bersama-sama membaca Doa Awal Tahun Hijrah 1448, dipimpin oleh Yang Mulia Awang Norezam bin Zaini, Imam Tingkat III, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong dan seterusnya Sembahyang Sunat Ba'diah Maghrib dan Sembahyang Sunat Hajat secara berjemaah, sebelum diakhiri dengan Bacaan Doa Selamat.

Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah pada tahun ini bertemakan Hijrah Penyelamat Aqidah.

Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memohon keberkatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta'ala sempena berakhirnya tahun hijrah yang lalu dan menyambut kedatangan tahun hijrah yang baharu. Di samping itu, majlis ini juga bertujuan menghayati peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai asas pengukuhan akidah, peningkatan keimanan serta pembentukan akhlak dan sahsiah yang mulia dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, majlis ini diharap dapat mengeratkan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat, di samping menerapkan nilai-nilai murni yang bermanfaat dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara. Semoga usaha ini akan terus menyemarakkan sambutan Ilal Hijrah Tahun 1448H/2026M di Daerah Temburong serta menjadi pemangkin ke arah pembentukan masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan nilai-nilai kebangsaan.

 

​Foto: PHEU Derah Temburong​