Tutong, Selasa malam Rabu, 01 Muharram 1448 bersamaan 16 Jun 2026–Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1448 di Daerah Tutong juga diadakan dengan tumpuan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Penyelaras bagi Dasar-dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara serta ketua-ketua kampung di Daerah Tutong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah 1447 yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd Waiz bin Tajuddin, Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Sejurus itu, azan Fardhu Maghrib dikumandangkan oleh Yang Mulia Awang Hazrin bin Haji Hassan, Bilal Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Majlis kemudian diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Awang Sahibol Omar bin Haji Mohd Yusof, Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Beliau juga memimpin bacaan Doa Awal Tahun Hijrah 1448, diikuti dengan Sembahyang Sunat Ba'diah, Sembahyang Sunat Hajat secara berjemaah serta diakhiri dengan bacaan Doa Sunat Hajat.
Majlis tersebut bertujuan untuk memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan sepanjang tahun yang lalu, di samping memohon keberkatan, perlindungan serta petunjuk-Nya dalam menempuh tahun baharu Hijrah. Selain itu, majlis ini juga bertujuan menghayati makna hijrah sebagai suatu perubahan ke arah yang lebih baik, memperkukuhkan akidah, meningkatkan ketakwaan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam.
Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah tahun ini bertemakan Hijrah Penyelamat Aqidah.



Foto: PHEU Daerah Tutong