Negara Brunei Darussalam, Selasa, 29 Zulhijjah 1447 bersamaan 16 Jun 2026–Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran yang beriman, beramal dan bertaqwa, sekolah-sekolah ugama di negara ini terus mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai wadah bagi meraikan murid-murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Majlis seumpamanya merupakan antara usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan penghayatan ugama dalam kalangan murid serta mengembangkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, Sekolah Ugama Lambak Kanan (sesi pagi) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Murid-Murid Darjah VI yang diadakan di dewan sekolah berkenaan bagi meraikan seramai 23 orang murid yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Zanatul 'Aini binti Haji Zainin, Pengarah Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam serta persembahan dikir. Acara kemudian disusuli dengan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Pada sebelah petang, Sekolah Ugama Panglima Barudin Limau Manis dan Sekolah Ugama Bebuloh turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Gabungan bertempat di Dewan Saturn, Sekolah Rendah Panglima Barudin Limau Manis bagi meraikan seramai 49 orang murid Darjah VI iaitu 41 orang murid Sekolah Ugama Panglima Barudin Limau Manis dan 8 orang murid Sekolah Ugama Bebuloh yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Muizzah binti Kefli, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah serta menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta.