Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA BERIBI GADONG (SESI PAGI) BAGI TAHUN 1447H / 2026M

16 June 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA BERIBI GADONG (SESI PAGI) BAGI TAHUN 1447H / 2026M

Beribi, Selasa, 29 Zulhijjah 1447 bersamaan 16 Jun 2026–Seramai 52 orang murid Darjah VI Sesi Pagi, Sekolah Ugama Beribi Gadong diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Dewan Fathul Busyra, sekolah berkenaan pada pagi tadi.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada murid yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran setelah mengikuti pembelajaran di peringkat sekolah ugama.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Mardini bin Haji Mohamad Eddie, Timbalan Pengarah Urusan, Brunei Darussalam Central Bank.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Acara kemudian diteruskan dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran, disusuli dengan persembahan dikir.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Sijil Khatam Al-Quran serta acara merenjis minyak wangi kepada para peserta oleh Tetamu Khas Majlis. Acara kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Penganjuran majlis-majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama seluruh negara merupakan antara usaha berterusan dalam mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran serta menjadikan pembacaannya sebagai amalan hidup berugama. Di samping itu, ia juga mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh syiar Islam dan menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan generasi muda di negara ini.​