Negara Brunei Darussalam, Isnin, 28 Zulhijjah 1447 bersamaan 15 Jun 2026–Dalam usaha melahirkan generasi celik Al-Quran serta membudayakan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian ke arah merealisasikan hasrat Negara Zikir, beberapa buah sekolah ugama telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan murid-murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran pada petang tadi.
Majlis Khatam Al-Quran gabungan Sekolah Ugama Kampung Bolkiah dan Sekolah Ugama Putat telah diadakan di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah A, bagi meraikan seramai 24 orang murid yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Azman bin Haji Jaya, Ketua Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beliau turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim, Doa Khatam Al-Quran serta persembahan dikir. Acara kemudian disusuli dengan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Sementara itu, Majlis Khatam Al-Quran Murid-Murid Darjah VI Sekolah Ugama Batu Marang telah diadakan di Bilik As-Salam sekolah berkenaan bagi meraikan seramai 14 orang murid yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Muhammad Nor Andy bin Haji Mohd Said, Ketua Kampung Batu Marang, Mukim Mentiri. Beliau turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta.
Pada masa yang sama, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sungai Akar turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 99 orang murid yang berjaya menamatkan bacaan Al-Quran. Majlis diadakan di dewan sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dayang Norliyani binti Haji Ahmad, Ketua Unit Maklumat, Perangkaan dan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beliau turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang diraikan.
Penganjuran majlis-majlis seumpama ini diharap dapat menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid serta mendorong mereka untuk terus menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan pegangan sepanjang hayat. Di samping itu, majlis ini turut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan syiar Islam dan melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta berpegang teguh kepada ajaran Islam di Negara Brunei Darussalam.